Monday, February 2, 2009

TERHARU DAN BERDEBAR

Petang tadi saya menerima satu panggilan dari pihak Sekolah Siswazah Universiti Malaysia Terengganu memaklumkan bahawa saya dan hassan embong telah diterima untuk memulakan sesi pembelajaran di peringkat master dalam bidang pengurusan: Kepimpinan pendidikan (Educational Leadership) dan diminta daftar pada 15 Februari ini.

Pada lewat petang Hassan Embong datang ke rumah saya dengan kereta Perdana barunya berwarna hitam yang baru sahaja diambil dari kedai untuk mengambil surat tawaran masternya. Kemudian saya uji pandu ke pantai Teluk Ketapang, tempat di mana kawasan landasan Lapangan Terbang yang disambung ke tengah laut. Sempat saya minum air kelapa dan ICT (ikan celup tepung) sambil bercerita tentang tindakan yang perlu diambil sebelum mendaftarkan diri pada 15 februari nanti.

Hari ini saya rasa sukacita kerana mendapat tawaran tersebut dan agak bercelaru fikiran ini untuk menghadapi situasi pembelajaran di peringkat master ini. Apakah saya benar-benar mampu berbuat demikian? Kerana dulu kita sama-sama berjuang beramai-ramai. Dengan keseronokan berkawan sedar tak sedar kita dahpun habis belajar. Kini saya dan Hassan Embong sahaja saling berpaut sekiranya salah seorang nak tumbang.

Cuma kini saya berbekalkan semangat kawan-kawan yang memberi sokongan dan semangat untuk meneruskan juga proses pembelajaran sepanjang hayat. Saya dan Hassan E kena perbetulkan niat belajar kerana Allah.

Sunday, February 1, 2009

Upgrade IPG kepada IPGM

Assallamualaikum dan Salam Sejahtera rakan-rakan sekelian yang menunggu akan ketibaan cerita daripada ayahku.

Kali ini ayahku nak cerita tentang bagaimana kini Maktab Perguruan telah dijenamakan semula kepada Institut Pendidikan Guru dan seterusnya Institut Pendidikan Guru Malaysia. Bukan sekadar "The new label at the old kicap". Kini ia benar-benar berlaku (cerita benar). Penjenamaan semula berlaku kerana Institut Pendidikan Guru Malaysia telah melatih guru di peringkat ijazah. Ini adalah juga hasil usaha dan kesungguhan arwah Dato' Razali Ismail yang berjuang sejak di Kementerian dan seterusnya di Parlimen.

Apabila penjenamaan semula telah berlaku sepertimana diistiharkan pada sehari sebelum pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri di Institut Perguruan Kuala Terengganu (Kini Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Dato' Razali Ismail). Maka suatu habuan kepada semua pensyarah seluruh Malaysia, di mana DG41 ke DG44, DG44 ke DG48, DG48 ke DG52 dan DG 52 bakal ke DG54 serta akan wujud jawatan Jusa di samping akan wujud juga Prof. Madya, Profesor dan seumpamana seperti mana di Universiti Awam. Jadi bagi pensyarah yang berhajat untuk berkhidmat di Universiti tak perlu lagi memikirkannya kerana mereka boleh mendapatkan kedudukan yang diperlukan di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Yang seronoknya ada pensyarah yang baru berusia 37 tahun sudahpun mendapat DG48.

Sedikit terkilan kepada PPP BS seperti saya ini hanya berputih mata melihat orang lain sedang mulai rasa akan kenikmatan kenaikan pangkat, sedangkan saya dah mata gaji 'ceiling' tiga tahun dan ada rakan saya dah lebih 10 tahun gaji tak bergerak. Setakat ini belum ada ruang untuk tingkatkan karier sebelum ke 41 nanti, walaupun ada usaha untuk menyediakan jawatan 38 di Bahagian Kementerian Pelajaran. Kelulusan terakhir hanya diberikan kepada JPN dan PPD (kalau tak silap) untuk meletakkan pegawai ke kategori 38. Segalanya terserah kepada rezeki Allah taala, kerana usaha-usaha ke arah itu telahpun dilakukan sebelum ini. Kepada yang dah dapat tu diucapkan tahniah dan kepada yang belum dapat sama-samalah kita usahakan.